Sunday, April 27, 2014

Kejayaan CDM Naa Kamaruddin.


  • Nur Azmina Kamaruddin

Nur Azmina KamaruddinMENGENALI Nur Azmina Kamaruddin, 29, secara lebih dekat memberi inspirasi kepada wanita sebayanya mengecapi kejayaan apatah lagi dalam cabaran dunia perniagaan yang semakin mencabar kini.

Bagi individu yang tidak mengenali secara lebih dekat mungkin akan menganggap wanita kecil molek yang bermata bulat ini sukar didekati. Bagaimanapun, kepetahan dan keramahannya membuktikan bahawa dirinya bukanlah seperti apa yang disangkakan.

Berkongsi cerita mengenai kejayaannya, Azmina atau lebih senang dipanggil Naa mengakui jika tiada keyakinan dalam diri untuk mengubah nasib hidup mungkin hingga sekarang pun saya tidak mampu memiliki apa yang saya inginkan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Teknologi Petronas (UTP) ini tidak lokek untuk bercerita perjalanan hidupnya sejak dari awal.

Naa anak tunggal dalam keluarga bertuah kerana sejak dari tingkatan satu sudah terpilih ke Kolej Tunku Kurshiah (TKC) sehingga tingkatan lima.

Biarpun anak tunggal, Naa tidak dimanjakan oleh kedua ibu bapa malah diajar berdikari. Baginya didikan ibu bapa yang membantunya berjaya pada hari ini.

“Saya akui lebih rapat dengan rakan-rakan berbanding keluarga sendiri kerana banyak masa dihabiskan di asrama. Selepas menamatkan pengajian pada 2008 saya bekerja di Trisystems Engineering Shah Alam selama setahun.

“Setelah mendirikan rumah tangga dan disahkan hamil keputusan berhenti kerja terpaksa dibuat disebabkan saya mengalami alahan teruk. Memang berat hati tapi memikirkan keadaan diri yang tidak berdaya untuk berulang alik dari rumah di Ampang ke Shah Alam setiap hari akhirnya saya perlu akur.

“Mujurlah suami memahami dan tidak memaksa walaupun pada waktu itu baharu hendak membina kerjaya dan membantu ekonomi keluarga. Sepanjang bergelar suri rumah sepenuh masa saya sentiasa mencari peluang kerja yang boleh menambah pendapatan keluarga.

“Antara memilih kerja di pejabat atau perniagaan sepenuh masa akhirnya saya memilih bidang perniagaan walaupun tiada asas dan minat,” katanya ketika ditemui di Hotel Royale Chulan, Damansara.


Pendapatan bulanan cecah lima angka

Menurut Naa, pada Mac 2011 perniagaan jualan langsung berasaskan produk kecantikan dan kesihatan terutamanya korset Premium Beautiful menjadi sumber rezeki pertama selepas mengenali Hanis Haizi yang merupakan mentor dalam perniagaan ini.

Pada permulaannya saya berasa agak takut untuk mencuba tapi lama-kelamaan selepas berkecimpung dalam perniagaan jualan langsung ini dan berjaya mendapat hasilnya saya jadi semakin berani.

“Dari sehari ke sehari saya mula berasa seronok dan potensi dalam diri dapat dibuktikan apabila dapat membantu rakan-rakan kongsi berjaya meraih pendapatan bulanan secara konsisten. Inilah nikmat yang tidak dapat saya rasakan sebelum ini.

“Kini dengan pendapatan bulanan mencecah lima angka hasil jualan langsung dilakukan memberi kepuasan yang begitu bermakna sekali kepada diri. Apa yang penting rezeki diberikan oleh ALLAH ini adalah satu anugerah yang sukar diucapkan dengan kata-kata.

“Tidak sia-sia saya berhenti kerja dan dalam tempoh itu berusaha mencari peluang terbaik. Jika ALLAH tidak membuka jalan mungkin saya tidak mampu berada pada tahap ini dan membuat perubahan 360 darjah tidak sampai setahun,” ujarnya tersenyum.

Kini Naa juga boleh berbangga apabila hasil usahanya itu dia mampu memiliki sebuah kereta BMW 3Series dan merancang membeli rumah idaman.

Melancong ke beberapa buah negara seperti Hong Kong, Holland, Belgium, Vietnam, Guangzhou, London dan Paris, Korea serta Australia memberi pengalaman yang sukar dilupakan.

Semua trip melancong ini ditaja sepenuhnya oleh Syarikat Hai-O Marketing Sdn Bhd sebagai insentif mencapai sasaran jualan.


Berhasrat majukan kumpulan dan perniagaan

Sebagai ahli perniagaan yang berjaya dalam perniagaan jualan langsung, Naa mempunyai cita-cita untuk memajukan lagi perniagaan bersama rakan kongsi dalam kumpulan Beautiful Circles di bawah naungan Green Leaders Academy Malaysia (GLAM).

GLAM ditubuhkan oleh Hanis Haizi dan pasangan bagi membantu wanita untuk lebih berjaya dalam bidang perniagaan jualan langsung. Sejak penubuhan tiga tahun lalu, GLAM kini mempunyai lebih 1,000 ahli.

Penubuhannya juga bertujuan membantu rakan kongsi mengenai asas jualan, pemasaran dan motivasi diri.

Melalui cara ini, Naa dapat membantu ahli lain berjaya mencapai matlamat dan impian masing-masing. Itulah hadiah yang paling manis dalam hidup apabila dapat membantu mengubah kehidupan orang lain.

Harapan untuk tahun ini dan akan datang pula adalah untuk melahirkan seberapa ramai barisan pemimpin dalam kumpulan Beautiful Circles dan GLAM.

Naa juga turut memegang prinsip dengan membantu orang lain mencapai kebahagiaan dahulu, kebahagiaan pasti akan menyebelahi diri kita pula.

Bagi wanita yang ingin berjaya jangan tunggu dan lihat sahaja kejayaan orang lain. Kita patut hargai setiap peluang yang datang walaupun ia mungkin datang ketika kita belum bersedia sepenuhnya.

Apa yang ingin dicapai pastikan ia berjaya dilaksanakan sebaik mungkin serta tidak perlu berputus asa jika mengalami kegagalan di peringkat awal.


Bebas rancang masa sendiri

Ditanya mengenai pengagihan masa bersama keluarga pula, Naa berkata bekerja tanpa terikat dengan majikan membolehkan dia membahagikan masa secara lebih teratur untuk anak-anak dan suami. Masa bekerja juga lebih fleksibel.

“Saya menganggap kerja seperti ini lebih bebas kerana kitalah bos dan setiap urusan kerja boleh diselesaikan mengikut masa yang dirancang.

Sekurang-kurangnya sebelum keluar berjumpa orang ramai semua tugas di rumah sudah diselesaikan dan tidak perlu lagi tergopoh-gapah menyiapkannya selepas pulang.

“Cuma jika bekerja sendiri kenalah lebih berdisiplin dari segi masa kerana setiap kejayaan yang diperoleh berdasarkan kepada kehendak diri sendiri.

“Pada masa sama suami juga seorang yang memahami dan mudah bertolak ansur sekiranya saya betul-betul sibuk. Dia (suami) sentiasa menemani saya dan secara tidak langsung hubungan kami makin erat,” katanya.

Cuma pada awal penglibatan Naa dalam perniagaan, pengorbanan dari segi masa dan tanggungjawab sebagai ibu serta isteri adalah terhad.

Bayangkan ketika itu anak sulungnya baharu berumur 8 bulan dan suamilah yang membantu menjaga anak ketika Naa keluar untuk temu janji perniagaan.

Selain bebas merancang masa, Naa turut memberi tumpuan kepada aspek penjagaan diri terutama kesihatan dalaman dan luaran.

Katanya, sebagai wanita yang sibuk sepanjang masa dan ingin mengekalkan kesihatan dan kecantikan dalaman diri, minuman BB Plus kolagen menjadi amalan utama.

Di samping itu, dia juga tetap mencari ruang untuk memanjakan diri di spa pada waktu terluang selain mengamalkan pemakanan seimbang.

“Bukan mudah untuk seseorang wanita kekal sihat jika tidak menjaga kesihatan dari peringkat awal lagi. Memandangkan saya mempunyai dua anak lelaki, stamina perlu kuat bagi menguruskan mereka berdua yang kini sedang membesar," katanya.


Profil
Nama: Nur Azmina Kamaruddin
Umur: 29 tahun
Suami: Mohd Ashraf Mohd Naserudin
Anak: 1) Muhammad Danial Ar-Rayyan (4 tahun)
          2) Muhammad Danish Yusuf (2 bulan)

Sumber: sinarharian.